Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Majma' Jahani Ahlul Bait mengecam keras jenayah pembunuhan Syiah yang didalangi oleh kumpulan-kumpulan militan di Pakistan.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Penyayang
مَن قَتَل َنَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَو فَسَادٍ فِي الأَرْضِ فَکَأَنَّمَا قَتَل َالنَّاسَ جَمِيعًا
Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya. - Surah al-Maidah ayat 32.
Darah kelompok Syiah di Karachi, Pakistan telah ditumpahkan oleh tangan kumpulan pengganas Lashkar-e-Jhangvi, yang telah mencemari iklim keintelektualan dan masyarakat dunia Islam dan kesyahidan mereka amatlah dikesali.
Bertahun-tahun lamanya kita melihat berbagai berita tindakan ekstrim puak pelampau terhadap Syiah di negara Pakistan. Sepanjang tahun-tahun sebelum ini laporan bahawa kumpulan-kumpulan ekstrim di Pakistan yang membunuh, menyamun dan memusnahkan keadilan telah sampai ke pendengaran kita. Namun masih belum ada sebarang tindakan tegas demi mencegah penumpahan darah insan yang tidak berdosa, yang mana kesalahan yang dinisbahkan kepada mereka hanyalah kerana memiliki pengetahuan wilayah Ali bin Abi Talib (a.s) dan kecintaan terhadap Ahlul Bait (a.s).
Hari ini keperluan utama umat Islam sedunia ialah perpaduan dalam menghadapi pihak musuh. Tidak dapat dinafikan lagi, tindakan pengganas dan apa sahaja yang mirip dengannya hanyalah ejen-ejen yang melancarkan komplot-komplot sandiwara musuh, dengan usaha mencetuskan perbalahan mazhab Syiah dan Ahlusunnah. Begitu juga Aksi-aksi mengkafirkan kelompok yang lain, mencetuskan perselisihan, ancaman, pembunuhan dan gertakan, semua ini tidak ubah seperti menepuk gendang perpecahan selain menjadi hamba sahaya konspirasi musuh.
Dengan ini Majma' Jahani Ahlul Bait menyatakan perasaan dukacita terhadap musibah yang disebabkan angkara pengganas Pakistan. Pihak Majma' mengutuk keras semua jenayah yang tidak dapat diampunkan ini selain meminta kerajaan Pakistan segera bertindak menangkap dan menghukum pihak yang melakukan kekejaman ini. Diminta masyarakat antarabangsa, badan hak asasi manusia dan media arus global agar terus mendesak pemberhentian segera jenayah ini.
Majma' Jahani Ahlul Bait
9 Mac 2013